Salam Sejahtera, Apakah ciri-ciri pilihan isteri yang kamu ingin cari? Ini sedikit tip untuk memudahkan memilih. Aku copy dan paste dari blog Bloganakikan. Semoga mendapat jawapan yang terbaik!
Pertama: Agama.
Ciri pertama yang penting ialah agama. Allah berfirman dengan membuat perbandingan: “Sesungguhnya seorang hamba wanita yang beriman lebih baik daripada wanita kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” [al-Baqarah 2:221]
Dalam perbandingan di atas, Allah menerangkan bahawa seorang wanita
yang berstatus rendah, amat rendah sehingga ke tahap budak hamba, adalah
lebih baik asalkan dia beriman kepada Allah (mukminat). Justeru yang
membezakan ciri baik dan buruk bukanlah kecantikan atau daya tarikan,
tetapi nilai agama seorang wanita.
Perhatikan juga bahawa Allah tidak menyebut wanita Islam (Muslimat)
tetapi menyebut wanita beriman (Mukminat). Ini kerana tahap seorang
Mukminat lebih tinggi dari tahap seorang Muslimat. Maka untuk ciri
pertama ini, ciri isteri pilihan bukanlah sekadar muslimat yang
biasa-biasa tetapi muslimat yang memiliki ilmu agama, beriman dengan
teguh dan menterjemahkan ilmu dan keimanannya kepada amal shalih
sehari-harian.
Berkenaan ciri agama ini, Rasulullah juga pernah bersabda: “Seorang
wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya,
kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak
kamu akan rugi.” [Shahih al-Bukhari, no: 4700]
Kedua: Cantik.
Jangan terperanjat jika Islam mementingkan ciri kecantikan kepada seorang isteri. Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.”
[Shahih Muslim, no: 131] Kecantikan sebegitu penting sehingga
Rasulullah menganjurkan seorang lelaki untuk melihat wanita pilihannya
sebelum pergi melamar atau meminang. Baginda bersabda:
“Apabila
salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat
apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082]
Maksud kecantikan di sini ialah apa yang tulen, bukan kecantikan palsu
umpama penggunaan alat solek. Bukan juga kecantikan yang menelan kos
yang tinggi seperti pembedahan plastik, dandanan rambut di salon
terkenal, penurunan berat badan di pusat-pusat yang diragui
keberkesanannya dan pakaian fesyen terkini di butik yang berjenama.
Justeru mana-mana wanita yang ingin diperisterikan, bakal menjadi
isteri dan sudah menjadi isteri, hendaklah menjaga kecantikan mereka
dengan gizi pemakanan yang sihat, senaman dan keyakinan diri. Yakinlah
bahawa semua wanita ciptaan Allah adalah cantik, hanya kecantikan itu
akan dikecapi oleh lelaki yang tentu saja berbeza citarasanya antara
satu dengan yang lain.
Ketiga: Menyenangkan Suami.
Rasulullah pernah ditanya tentang ciri-ciri isteri yang baik. Baginda menjawab: “Wanita
yang membahagiakan (suaminya) jika dipandang, mentaatinya jika
diperintahkan dan tidak menyelisihi berkenaan dirinya dan hartanya
dengan apa yang tidak disukai (oleh suami).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3231]
Ciri seorang isteri pilihan ialah dia memberi ketenangan, kegembiraan
dan kebahagiaan apabila saja suami melihatnya. Jika suami menyuruh dia
melakukan sesuatu, dia akan melakukannya sekadar yang mampu dengan
syarat suruhan itu selari dengan syari’at Islam. Jika bertentangan, maka
isteri tidak perlu taat. Namun berbincanglah dengan suami secara hikmah
kerana mungkin suami tidak tahu mengenainya.
Selain itu isteri tidak akan menyelisihi, apatah lagi bertengkar atau
memarahi, jika apa yang disukainya dibenci pula oleh suami. Ertinya,
isteri berusaha untuk menyelaraskan kesukaannya dengan citarasa suami.
Inilah yang dinamakan sehati, sejiwa.
Di sini mungkin ada yang bertanya, bahawa kenapa isteri mesti bersikap
sehingga ke tahap demikian kepada suaminya? Apakah isteri tidak boleh
bermuka muram, enggan taat dan memiliki pilihan tersendiri? Terhadap
persoalan seperti ini atau yang seumpama, para isteri hendaklah sedar
bahawa semua kebaikan yang dilakukan kepada suaminya, ia adalah ibadah
kepada Allah. Dalam erti kata lain, suami merupakan sarana atau jalan
untuk isteri beribadah kepada Allah. Perlu diingatkan bahawa ibadah
bukan sahaja solat, puasa dan zikir, tetapi berbuat baik kepada suami
sebagaimana dalam hadis di atas.
Keempat: Pandai Mendidik Anak-Anak.
Tanggungjawab suami ialah di luar rumah mencari nafkah untuk isteri dan
anak-anak. Tanggungjawab isteri pula di dalam rumah mendidik anak-anak
dan menjaga rumah. Maka atas dasar pembahagian tugas seperti ini,
Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik wanita Quraisy adalah yang
paling lembut dan simpati pada anak pada masa kecilnya dan paling boleh
menjaga harta suaminya.” [Shahih al-Bukhari, no: 4692]
Mungkin ada pula yang bertanya, bahawa isteri juga bekerja di luar
rumah. Maka kenapa mereka dipertanggungjawabkan untuk urusan anak-anak
dan penjagaan rumah? Jawapannya, pekerjaan di luar rumah tidak
diwajibkan oleh Islam ke atas isteri. Jika isteri bekerja di luar rumah,
maka ia adalah tanggungjawab tambahan yang dipilih oleh isteri itu
sendiri. Jika isteri beralasan perlu mencari sumber kewangan tambahan
untuk seisi keluarga, maka perlu ditanya kembali: “Apakah manusia pernah
berkecukupan dalam urusan kewangan?"
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan jejak anda
saya sangat menghargai anda yang sudi melawat blog ini =)